Wednesday 16 March 2016

E-DAGANG : REVOLUSI PERNIAGAAN MASA KINI









HYPERLINK SYARIKAT-SYARIKAT YANG MENGGUNAKAN E-DAGANG

http://www.ebay.com






PENGENALAN : E- DAGANG

1.0      Revolusi internet telah mempengaruhi kesemua aspek didalam dunia perniagaan di abad ini.Industri teknologi maklumat (information technology- IT) adalah yang paling pantas sejak bermulanya revolusi perindustrian pada abad ke-19 dahulu. Bersama-sama industri IT adalah perdagangan elektronik atau e-dagang yang memberi impak cukup besar dalam bidang perniagaan. Permintaan untuk menguruskan perniagaan atau perdagangan secara elektronik menerusi internet yang dikenali selepas ini sebagai e-dagang telah meningkat. Organisasi gergasi antarabangsa terutamanya yang berada di lembah silikon telah mencatat pulangan berbilion dollar melalui e-dagang.
                       
Hari ini, dengan tren yang lebih kepada sasaran pasaran terbuka, syarikat telah mula berani mengamalkan pemasaran langsung sebagai pendekatan pemasaran yang utama atau sebagai pelengkap kepada pendekatan yang lain. Ia adalah sebagai satu alat yang efektif untuk berinteraksi dengan para pelanggan untuk membina hubungan pelanggan jangka panjang.

Langkah kerajaan dalam Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) merupakan pelengkap kepada usahawan-usahawan Malaysia dalam melaksanakan e-dagang. Para usahawan perlu mengambil peluang dan ruang perniagaan di peringkat antara bangsa dalam memperkenalkan produk masing-masing. Dalam ucapan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, penglibatan usahawan dalan e-dagang masih rendah iaitu hanya 5.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).(Utusan Malaysia, Online, 2016)


Pelaksanaan e-dagang dalam pelbagai industri membolehkan semua pihak yang terlibat terutamanya pihak pembeli melakukan aktiviti jual beli dalam masa yang singkat, menjimat kos serta mampu meluaskan perniagaan.

DEFINISI E-DAGANG

1.0       


Menurut Muhamad Ridzuan Amin dan Lina Ahmad (2009), e-dagang merupakan satu kaedah perniagaan yang menggunakan perantaraan eletronik untuk melakukan keseluruhan transaksi perniagaan. Pihak pembekal produk atau perkhidmatan dan pelanggan bertemu dalam suasana maya untuk melakukan pelbagai urusniaga dengan menggunakan teknologi internet. Aplikasi e-dagang merupakan satu rangkaian telekomunikasi yang menghubungkan penjual, pembeli dan pihak ketiga seperti bank, syarikat kewangan, pengeluar sijil pengesahan digital, syarikat kad kredit dan sebagainya.

SEJARAH DAN EVOLUSI E-DAGANG


Kemunculan internet pada tahun 1969 merupakan perkembangan kepada jaringan telekomunikasi antara masyarakat dunia. Internet memiliki beberapa daya tarik dan keunggulan bagi para pelanggannya, misalnya dalam hal perolehan data, akses 24 jam sehari, efisiensi, alternatif ruang dan pilihan yang tanpa batas, personalisasi, sumber informasi dan teknologi yang berpotensi dan lain - lainnya. Dalam konteks perniagaan, internet membawa impak transformasi yang menciptakan paradigma baru dalam dunia perniagaan yang di sebut “ Digital Marketing”.

 Awal tahun 1990-an, istilah baru Electronic Commerce atau lebih dikenali E-commerce mula bertapak di alam maya dan mula terkenal penggunaannya di negara barat pada pertengahan tahun 1990-an .E-commerce adalah sistem peniagaan yang melibatkan proses jual beli secara maya yang menggunakan teknologi maklumat sebagai perantaraan antara pembeli dengan penjual atau pengeluar. Pembayaran yang dibuat melalui transaksi oleh pengguna apabila membeli sesuatu barangan adalah salah satu proses e-dagang. Ia adalah sebuah sistem perniagaan yang menggunakan kemudahan teknologi maklumat terutamanya telekomunikasi canggih.
        
Dalam era ICT ini, internet merupakan satu medium utama dalam perniagaan. Kejayaan beberapa syarikat perintis dalam perniagaan online telah membuka mata pengusaha-pengusaha untuk mengeksplotasi ruang niaga maya ini. Nama-nama besar dalam industri e-dagang seperti Amazon.com, eBay dan Dell telah diangkat sebagai contoh terbaik dikalangan pemilik syarikat e-dagang khususnya dari segi modal perniagaan.

Menurut Muhamad Ridzuan Amin dan Lina Ahmad (2009), e-dagang  dibahagikan kepada dua kategori iaitu :-

i)             e-dagang di antara perniagaan dengan perniagaan.
e-dagang di antara perniagaan dengan perniagaan melibatkan transaksi di antara dua atau lebih syarikat di mana satu pihak merupakan syarikat pembekal kepada satu pihak yang lain.
ii)            e-dagang di antara perniagaan dengan pengguna.

e-dagang di antara perniagaan dengan pengguna pula melibatkan transaksi di antara penjual produk akhir dengan pengguna. 

KEPENTINGAN E-DAGANG DALAM PERNIAGAAN



Secara umumnya, e-dagang mempunyai impak yang besar dalam mempengaruhi tindakan seorang usahawan. Sudah ternyata, ia mempunyai hubung kait dengan unsur obligasi perniagaan yang menjadi jambatan perhubungan di antara usahawan dan juga kelompok masyarakat yang merangkumi pelbagai kaum, bangsa, umur dan lokasi.

E-dagang merupakan satu inovasi sangat berkait rapat dengan perniagaan. Mana-mana perniagaan yang berjaya mengaplikasikan aspek inovasi dalam perusahaan, maka keuntungan adalah sesuatu yang pasti dan pulangan yang tinggi. Inovasi dan teknologi  adalah saling berkait antara satu sama lain. Teknologi merangkumi satu konsep yang sangat luas dan iadigunakan untuk membangunkan inovasi menyelesaikan masalah manusia yang dihadapi dalam kehidupan seharian.

Menurut Khairul Nizam Bin Zainal Badri (2007), menyatakan contoh terbaik penggabungan teknologi yang sering dipraktikkan oleh syarikat-syarikat maya ini ialah seperti penggunaan teknologi kemudahan mudah alih dengan laman web. Penggunaan laman web menerusi aplikasi facebook, blog, istagram berjaya menambat hati pengguna teknologi masa kini. Dengan cara itu, pengguna boleh boleh menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan pada bila-bila masa dan dimana-mana sahaja.

Kepentingan e-dagang dalam perniagaan memberi kelebihan dalam perniagaan seseorang usahawan. Kelebihannya adalah seperti berikut :-
a)            Menjimatkan masa dan kos
            E-dagang merupakan satu kaedah yang baik dan berkesan dalam urusan jual beli kerana kaedah ini menjimatkan masa dan kos.Peniaga tidak perlu menyediakan ruang premis yang luas untuk menjalankan perniagaan. Urusan jual beli dapat dijalankan dengan lebih mudah dan cepat di samping menjimatkan kos. Ia membantu syarikat untuk meluaskan pasaran ke seluruh pelusuk dunia dengan menjadikan ekonomi di dunia ini menjadi satu sistem yang bersifat saling-bergantung antara satu sama lain. Pembeli pula tidak perlu keluar dari rumah dalam cuaca yang panas, mengharungi kesesakan malahan dapat menjimatkan masa dan kos sekaligus dapat melihat produk yang dijual dengan jelas beserta dengan maklumat yang disertakan.

b)           Boleh menaikkan imej dan kredibiliti usahawan. 
            Pada zaman perkongsian maklumat kini, adalah penting bagi seseorang usahawan memperbanyakkan perkongsian bagi menaikkan imej perniagaannya dan meningkatkan kredibilitinya. Salah satunya adalah melalui pelaksanaan e-dagang dalam perniagaan. Oleh kerana rantaian nilai perniagaan itu boleh dilonjakkan ke tahap yang lebih tinggi melalui inovasi, pendekatan dan perkaedahan inovatif, ia berupaya menghasilkan idea baharu dan segar, yang boleh diterjemahkan menjadi produk dan perkhidmatan komersial yang berdaya maju. Dengan merangkumkan kepintaran, daya cipta, dan keaslian, perniagaan melalui e-dagang, akan meraih manfaat daripada kegiatan nilai tambah yang tinggi, seterusnya menjana pendapatan tinggi.

c)            Mengembangkan perniagaan ke negara-negara lain melalui e-dagang. 
        Dalam bidang perniagaan, strategi sangat penting untuk memastikan perniagaan kita sentiasa mendapat permintaan daripada pelanggan dan kedudukan kita sentiasa kekal di dalam bidang perniagaan. Oleh itu,  peniaga masa kini tidak melepaskan peluang keemasan ini dengan menggunakan sebaiknya kemudahan teknologi yang ada. Ternyata e-dagang mempunyai pontensi besar untuk mengembangkan perniagaan.

            E-dagang menggunakan teknologi internet sebagai platform utama perkembangannya. Pada masa sekarang terdapat lebih daripada satu juta pengguna yang berdaftar dengan JARING dan TMnet, ini membuktikan pasaran yang luas membolehkan produk dipasarkan diseluruh dunia. Inilah kelebihan pasaran bagi e-dagang dalam usaha untuk membawa produk ke pasaran antarabangsa bukan lagi terhad kepada organisasi besar malah termasuk organisasi kecil dan sederhana (IKS) dan orang perseorangan.

d)           Corak perniagaan terkini
            Industri e-dagang atau perniagaan menerusi internet merupakan platform terbaik bagi corak perniagaan terkini di negara ini. Kesungguhan dan minat mendalam dalam bidang keusahawanan menerusi platfom mampu menjadi pemangkin untuk para usahawan berjaya, bukan sahaja di negara ini, malah mampu menembusi peringkat global.


            Dagangan yang beroperasi melalui internet bukan sahaja cekap dan berkesan, bahkan mengurangkan kos operasi, menjimatkan masa urus niaga dan meluaskan jalinan strategik antara peniaga. Syarikat antarabangsa seperti Alibaba, Amazon, eBay dan Walmart merupakan antara yang menerajui perniagaan menerusi internet dan telah mengoptimumkan peluang menjana pendapatan menerusi platform ini. E-dagang berjaya menguasai pasaran domestik dengan trend terkini menunjukkan pengguna di negara ini gemar menggunakan Internet untuk melakukan pembelian.

PENGGUNAAN E-DAGANG SECARA GLOBAL


Dalam dunia  e-dagang, perancangan strategi adalah sangat penting kerana ia menjadi kunci kejayaan kepada sesebuah syarikat.  E-dagang telah digunakan secara global di serata dunia bagi mengembangkan perniagaan masing-masing. Dalam dunia e-dagang, penggabungan sebuah laman web  dengan teknologi lain dianggap menjadi satu kelebihan kepada penyedia perkhidmatan laman web. Penggunaan e-dagang adalah penting dalam pasaran global, ini kerana kebanyakan syarikat  telah menggunakan perisian, komputer dan internet untuk meluaskan perniagaan mereka dari pasaran tempatan ke pasaran nasional dan global.

Dengan adanya e-dagang, sesebuah syarikat atau individu boleh melakukan transaksi jual beli di mana sahaja di dunia ini. E-dagang  kini digunakan secara meluas terutamanya di negara-negara barat malah diakui oleh syarikat antarabangsa dan pakar pasaran sebagai satu sektor perniagaan dan pemasaran yang tidak boleh diabaikan. Kemajuan teknologi dalam beberapa dekad yang lalu telah banyak meningkatkan daya saing dalam perniagaan dan ekonomi di seluruh dunia. Ia membantu mengintegrasikan semua bahagian dalaman syarikat dengan sesebuah transaksi perniagaan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan juga produktiviti.

Penggunaan ICT melalui e-dagang dalam perniagaan juga dapat membantu untuk menyampaikan maklumat perniagaan kepada pihak yang berkenaan seperti pelanggan dengan pantas dalam masa yang singkat para peniaga boleh membuat promosi dengan mengiklankan produk mereka melalui kemudahan Internet, SMS, emel dan pelbagai medium lain menyebarkan maklumat dengan lebih pantas, efisyen dan tepat.

Bukan itu sahaja, peniaga juga akan dapat menjimatkan kos pengiklanan. Usahawan kini boleh mengiklankan  produk perniagaan mereka di laman sosial seperti facebook dan twitter  dengan pantas dan berkesan tanpa perlu mengeluarkan kos yang besar. Laman sosial tersebut boleh dikemaskini pada setiap masa jika terdapat maklumat baru mengenai perniagaan yang ingin disampaikan kepada pelanggan khususnya.


Kerajaan telah melaksanakan Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan mulai April 2015. Perniagaan e-dagang juga tidak berkecuali dalam pelaksanaan tersebut. Layanan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP) ke atas barangan jika barang tersebut dijual melalui internet dan barang tersebut dibekalkan secara fizikal kepada pelanggan luar Negara, pembekalan tersebut adalah berkadar sifar bagi tujuan CBP.(Panduan E-dagang, CBP).  Ini menunjukkan bahawa kerajaan telah mengambil kira penggunaan e-dagang dalam membantu peniaga memasarkan produk mereka ke luar Negara.

TAHAP PENGGUNAAN E-DAGANG DI MALAYSIA

Menurut Datuk Dr Ewon Ebin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, menyatakan pasaran e-dagang Malaysia bernilai RM 3.65 billion dengan RM1.82 billion disumbang oleh perdagangan menerusi peranti mudah alih.  (Berita Online, Bernama.Com (2014)). Peranan kerajaan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah menganjurkan program pengkormersialan yang menyediakan bantuan dalam penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan produk e-dagang dalam usaha membantu industri kecil dan sederhana (IKS).

Di Malaysia, menurut kaji selidik Euromoney terus menjangka e-dagang akan mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan walaupun berhadapan ketidaktentuan ekonomi dengan unjuran melebihi RM 1.9 billion di Malaysia menjelang 2016. (Utusan Malaysia Online, 2012)

Pemain-pemain IKS sepatutnya merebut peluang dan ruang dalam meluaskan lagi perniagaan mereka. Melalui penggunaan e-dagang di Malaysia, usahawan juga akan mudah untuk mengetahui maklumat pesaing-pesaing yang ada dengan begitu mudah sekali. Ukuran kejayaan kepada perlaksanaan e-dagang di dalam perniagaan bercorak “k”(Knowledge) adalah:
·           Sentiasa menggunakan applikasi dan pendekatan baru dan inovatif.
·           Melakukan urusniaga secara berkala dan bersistem.
·           Berada dalam persekitaran yang selamat.
·           Maju dan senantiasa positif.
·           Sentiasa bersedia dalam persekitara selamat dan bermaklumat.
·           Mempunyai pengetahuan (berilmu) dan bermaklumat.
·           Pengurusan yang efisyen dan efektif.

Pihak kerajaan perlulah memperbanyakkan lagi program yang mampu memberi kesedaran kepada peniaga mengenai kepentingan ICT  terutama dalam e-dagang dan program yang mampu meningkatkan lagi kemahiran peniaga tentang penggunaan ICT seperti perbanyakkan kemudahan ICT di kawasan pedalaman yang lain supaya peniaga atau usahawan yang berada di pedalaman juga dapat menikmati faedah dan kemudahan menggunakan kemudahan ICT.


Disamping itu, pihak kerajaan dan swasta perlu berganding dalam memperbanyakkan kursus ICT terutamanya terhadap peniaga atau usahawan yang baru sahaja  berkecimpung dalam bidang perniagaan. Dengan adanya kursus ICT terhadap uasahawan, dapat menjadikan usahawan bertambah yakin dengan penggunaan ICT dan membantu mereka untuk mengembangkan perniagaan dengan begitu mudah.